Tampin bandar

Tampin adalah sebuah bandar dan daerah yang terletak bersempadan dengan negeri Melaka. Kebanyakan tempat menarik di Tampin sesuai untuk anda yang berjiwa lasak. Dahulunya, Tampin merupakan kawasan perdagangan dan perniagaan di antara penduduk dari Rembau, Gemencheh, dan Alor Gajah. Tampin adalah salah satu daripada luak yang mengamalkan Adat Perpatih. Dalam Adat Perpatih, gelaran bagi Dato’ Undang di Luak Tampin ialah Yang Teramat Mulia (YTM) Tunku Besar Tampin, dan jawatan pengganti akan disandang oleh anak lelaki. Manakala di luak lain, pengganti jawatan akan dipilih mengikut giliran dan permuafakatan anak buah.  


BALAI & KEDIAMAN RASMI TUNKU BESAR TAMPIN

unnamed


Balai & Kediaman Rasmi Tunku Besar Tampin merupakan tempat bersejarah yang memegang peranan penting dalam adat dan sejarah Negeri Sembilan. Berikut adalah beberapa maklumat mengenai Tunku Besar Tampin. Pada 13 September 1832, Undang Tampin ditubuhkan selepas berlakunya konflik dalam Luak Rembau yang menyebabkan Luak Rembau terbahagi dua. Luak yang terpisah tersebut diketuai oleh Tunku Besar Tampin. 

Tunku Syed Razman Ibni Tunku Syed Idrus Al Qadri secara rasmi ditabalkan sebagai Tunku Besar di Balai Rasmi Tampin pada 12 Ogos 2006. Beliau merupakan penaung Yayasan Alam Sekitar Tunku Syed Razman, yang ditubuhkan pada 2010. Selain itu, beliau juga dipilih sebagai Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Sembilan sejak 2018. Tunku Besar Tampin merupakan jawatan bagi ketua Undang Tampin, Negeri Sembilan dalam pentadbiran adat. Tugas dan tanggungjawabnya melibatkan aspek pentadbiran dan adat istiadat di kawasan tersebut.